AMANAH BUKAN UTAMA SYARAT KEPIMPINAN?

Imam Ibn Taimiyyah  dalam bukunya yang bertajuk “As-Siasatu As-Syariah Fi Ishlah al-Raie Wa- Al-Raiyyah, muka surat 22, Terbitan Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, menjelaskan seperti berikut:

1. Sangat sukar untuk menemukan 2 sifat yang pada diri pemimpin iaitu sifat amanah dan kompetensi (keupayaan memimpin). Bila seseorang itu amanah biasanya ia tidak memiliki keupayaan memimpin. Jika seseorang itu memiliki sifat kepimpinan, sukar pula ia memiliki sifat amanah.

2. Sekiranya terdapatnya 2 orang yang terpilih untuk memimpin, salah satunya memiliki sifat amanah, sementara yang satu lagi memiliki skill kepimpinan yang tinggi, maka sewajarnya didahulukan mana satukah yang lebih memberikan manfaat yang besar dan dapat mengurangkan risiko terhadap sesuatu jawatan yang disandang bagi sesebuah wilayah.

3. Dalam soal mengurus tadbir peperangan, adalah wajar dilantik di kalangan mereka yang berani dan tegas meskipun wujudnya rekod-rekod jenayah pada diri pemimpin itu jika mahu dibandingkan dengan pemimpin yang lemah meskipun rekod kepimpinannya bersih. 

4. Imam Ahmad Ibn Hambal pernah ditanya mengenai 2 orang calon pemimpin dalam peperangan; salah-satunya adalah seorang yang kuat tapi ada rekod jenayah, manakala satu lagi seorang yang soleh tetapi lemah. Beliau menjawab: Pemimpin yang kuat dan ada rekod jenayah itu, kekuatannya adalah untuk kaum muslimin sementara jenayahnya adalah sikapnya terhadap dirinya sendiri. Manakala pemimpin yang soleh tetapi lemah pula hanya memberikan kebaikannya hanya kembali dirinya sendiri sementara kelemahannya terpaksa ditampung oleh kaum muslimin.

RUMUSAN

1. Perkara yang paling penting dalam kepimpinan ialah mengetahui perkara yang lebih mendatangkan kebaikan berbanding kerosakan. Pertimbangan antara perkara yang rosak dengan yang paling merosakkan mesti diambil kira.

2. Oleh itu Baginda S.A.W melantik Khalid al-Walid R.A sebagai panglima perang meskipun kadang-kadang beliau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh baginda S.A.W. Beliau telah membunuh Kaum Bani Jazimah dan mengambil harta mereka secara syubhat, sedangkan ia tidak wajar melakukan demikian, para sahabat pun ramai yang tidak bersetuju, sehingga menyebabkan baginda S.A.W  terpaksa membayar diat (ganti rugi pembunuhan) dan memberikan jaminan keselamatan harta benda mereka. Namun demikian, Nabi Muhammad S.A.W tetap melantik beliau sebagai pemimpin perang, disebabkan hanya beliau sahaja yang layak memenuhi kreteria itu berbanding orang lain.

3. Apabila kepimpinan itu memerlukan kekuatan amanah, sewajarnya didahulukan orang yang memiliki sifat amanah seperti dalam hal yang berkaitan dengan menjaga harta. Jika kepimpinan itu memerlukan orang perlu mampu mengagihkannya, maka ia mesti ada sifat kekuatan dan amanah sekaligus supaya ia dapat mengagihkannya dengan gaya kepimpinan yang tegas dan menulis rekod pengagihan itu dengan amanah dan jujur.

Sekian,

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Ketua Urusan Ulamak
Pas Kaw Batu Pahat
www.zulhilmei.com
www.facebook.com/ustzul